Saturday, November 13, 2004

ZIARAH HARI RAYA..

Ziarah hari raya - Didik anak dengan tujuh etika
Oleh AZMAN AHMAD -Utusan Malaysia

KEDATANGAN Hari Raya Aidilfitri pasti akan disambut dengan penuh kegembiraan oleh pelbagai peringkat umur sama ada yang tua, muda apatah lagi golongan kanak-kanak. Tradisi kemeriahan lebaran ini bukan sekadar penyediaan kuih muih atau ketupat dan lemang tetapi kemeriahannya lebih terasa apabila dihidupkan dengan budaya kunjung-mengunjung dan ziarah dari rumah ke rumah.

Walaupun hari raya sering kali dicemari dengan program hiburan televisyen yang kadang-kadang membunuh semangat ziarah-menziarah, namun tradisi tersebut masih tetap dipertahankan sehingga hari ini.

Lebih-lebih lagi ia sesuatu yang sangat dituntut kepada umat Islam demi merapatkan talian silaturahim sesama insan, ahli keluarga, ibu bapa, adik-beradik, suami isteri dan kaum keluarga jauh dan dekat. Malahan budaya amalan rumah terbuka dan saling menziarah perlulah dipanjangkan dan dilakukan sepanjang masa sesuai mengikut syariat melalui konsep ziarah yang disebut dan diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Dibimbing

Dalam menyentuh persoalan menge-nai amalan sunah ini, anak-anak sewajarnya dibimbing oleh ibu bapa supaya mengaplikasikan adab-adab tersebut demi hubungan baik kekal terjalin dengan komuniti luar. Adab-adab yang dimaksudkan ini hendaklah mengambil kira beberapa etika di bawah ini, antaranya:

1. Adab memberi salam. Anak-anak sewajarnya diajar dengan adab pertama ini. Etika moral ini adalah citra kepada akhlak mulia iaitu lambang kesantunan diri sama ada ketika bertemu atau berkunjung ke rumah jiran tetangga atau sahabat mereka. Apatah lagi amalan memberi salam merupakan suatu yang sangat digalakkan sehingga disebut oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu sehingga kamu diizinkan penghuninya. Maka hendaklah kamu memberikan salam kepada mereka. (An-Nur: 27)

Gerak laku memberi salam ketika berkunjung atau pulang selepas itu sebenarnya membezakan amalan atau perbuatan golongan Yahudi dan Nasrani. Hal ini kerana mereka memberi salam hanya dengan cara mengangkat jari atau tangan mereka sahaja. Oleh itu ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak agar meninggalkan budaya `helo' atau `hai' dan menggantikan dengan ucapan salam yang mengandungi doa kasih sayang dan perlindungan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Biar aku beritahu kamu satu perkara yang akan menggalakkan kasih sayang dan persahabatan di kalangan kamu. Berikan salam antara satu sama lain sekerap mungkin. (Riwayat Muslim)

2. Adab berjabat tangan. Adab ini juga merupakan sunah Rasulullah s.a.w. dan amalan para sahabat untuk menyatakan perasaan kasih, kegembiraan dan rasa hormat. Huzaifa ibnu Yaman menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Apabila dua orang beriman bertemu antara satu sama lain dan selepas memberi salam saling berjabat tangan, maka mereka dibersihkan daripada dosa mereka sebagaimana daun gugur dari pokok. (Riwayat at-Tabrani). Selain itu amalan berjabat tangan juga adalah lambang memohon maaf. Anak-anak seharusnya diajar bersalaman memohon maaf kepada rakan-rakan mereka dan jiran tetangga yang mereka kunjungi.

3. Adab memperkenalkan diri. Setelah memberi salam, ibu bapa juga hendaklah mengajar anak-anak agar memperkenalkan diri mereka sebelum masuk bertandang. Hal ini kerana sudah menjadi fitrah manusia yang lemah sifatnya, mudah salah anggap dan syak wasangka, apatah lagi jika tidak mengenali mereka. Tegasnya budaya memperkenalkan diri boleh mengelakkan sebarang bentuk fitnah atau salah faham tuan rumah terhadap kunjungan tersebut. Dalam sebuah hadis daripada Jabir r.a. berkata: Suatu ketika aku menemui Rasulullah s.a.w. di rumah Baginda, kemudian aku mengetuk pintu rumahnya. Maka Nabi s.a.w. bertanya: ``Siapa itu?'' Maka aku menjawab: ``Saya''. Rasulullah s.a.w. bertanya pula: ``Saya? (saya tu siapa?)'' Nada suara Baginda seolah-olah tidak suka pada jawapanku itu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Adab meminta izin masuk. Adab meminta izin sebenarnya merangkumi juga beberapa adab lain terutama ketika memaklumkan kepada penghuni rumah akan kunjungan mereka. Anak-anak seharusnya diajar mengelak diri daripada tabiat menyeru secara meninggikan suara atau menjerit-jerit memanggil. Ia sebenarnya menggambarkan kerendahan akhlak anak-anak. Sebab itulah Nabi s.a.w. mengingatkan umatnya dengan satu ajaran yang murni melalui sabda Baginda yang bermaksud: Seruan meminta izin itu hendaklah diulangi sebanyak tiga kali, jika tidak diizinkan, maka hendaklah kamu balik. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Selain itu anak-anak juga hendaklah dimaklumkan bahawa adab menunggu di antara ketiga-tiga seruan itu berselang tempohnya pada kadar solat empat rakaat; iaitu antara empat hingga lima minit. Hal ini kerana kemungkinan tuan rumah sedang solat atau sedang menunaikan urusan atau hajat tertentu di luar pengetahuan mereka.

5. Adab mengetuk pintu. Selain itu, anak-anak juga harus mengelak daripada mengetuk pintu tuan rumah dengan kasar atau kuat sehingga mengganggu ketenangan dan menimbulkan kemarahan atau aib penghuni rumah dan jiran-jiran mereka. Apatah lagi jika mereka berkunjung ke rumah orang yang dihormati atau dikenali masyarakat. Sekiranya sesebuah rumah itu berpagar, maka gunakanlah loceng yang disediakan dan picitlah dengan adab-adab seperti yang disebutkan. Elakkanlah melaung dengan suara yang keras yang boleh merendahkan keperibadian Muslim dan akhlak anak yang soleh.

Penghoramatan

Daripada Anas r.a. meriwayatkan bahawa pintu rumah Nabi s.a.w. biasanya diketuk oleh para sahabat dengan buku jari yakni luku mereka bukan dengan tangan mereka. Ini menunjuk-kan ketinggian adab dan akhlak mereka serta lambang penghormatan mereka yang sentiasa beradab kepada seorang Nabi.

6. Adab menunggu di pintu. Hikmah meminta izin ini antara lainnya merendahkan pandangan mata anak-anak daripada melihat aurat yang dilarang serta memelihara maruah orang lain. Justeru itu, Islam melarang seseorang itu berada betul-betul di hadapan pintu apabila menunggu penghuninya keluar. Hal ini kerana kita tidak tahu siapa yang membuka pintu tersebut. Kemungkinan isteri atau anak-anak perempuan mereka dalam keadaan tidak menutup aurat dan sebagainya.

Perbuatan tersebut dibimbangi boleh menimbulkan sesuatu yang tidak manis dipandang mata. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, Janganlah kamu mendatangi sebuah rumah itu betul-betul di hadapan pintu rumahnya tetapi beralihlah di sebelah tepinya dan mintalah keizinan untuk masuk. (Riwayat at-Tabrani).

Amalan ini wajar diperjelaskan kepada anak-anak sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawasanya Rasulullah s.a.w. apabila mendatangi rumah sahabat-sahabatnya, Baginda mengelak diri daripada menghadap pintu masuk yang dapat melihat wajah penghuninya, tetapi Baginda berdiri di sudut kanan atau kiri pintu kemudian barulah Baginda memberi salam.

7. Adab apabila tidak diizinkan masuk. Adab yang terakhir ini kemungkinan berlaku apabila anak-anak tidak dibenarkan masuk. Maka ketika itu anak-anak hendaklah diajar supaya lebih berakhlak mulia tanpa menunjukkan sebarang reaksi buruk sama ada dengan keluhan, cacian atau tindakan-tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan mereka. Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya yang bermaksud, Apabila kamu mengetahui tidak ada sesiapa, maka janganlah kamu memasukinya dan apabila kamu disuruh pulang, maka hendaklah kamu terus pulang, yang demikian itu lebih baik bagi kamu. (An-Nur: 28)

Sesungguhnya Islam mempunyai etika dan nilai murni cukup sempurna, yang disusun oleh Rasulullah s.a.w. yang sangat mengambil berat kebajikan umatnya kerana kecintaan yang begitu tinggi dan mendalam. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w.) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang beriman. (At-Taubah)

Sesungguhnya tanggungjawab ibu bapalah untuk mendidik anak-anak supaya jangan meniru-niru adat atau budaya orang lain masuk ke dalam amalan seharian anak-anak. Seandainya ibu bapa leka dan alpa dibimbangi sikap sedemikian bukan sahaja terkeluar daripada sunah Nabi, malah boleh terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

wahh..banyaknye yer..bagus2...nanti ajar leklok ek anak-anak kita..insyaAllah =)

No comments: