Friday, November 05, 2004

BERITA RAMADHAN..Al-FATIHAH..

Pelajar hubungi ibu sebelum meninggal dunia
SEREMBAN: Seorang pelajar Kolej Mara Seremban di sini, yang meninggal dunia ketika tidur awal pagi semalam, sempat menghubungi ibunya menerusi telefon sebelum tidur. “Emak jangan kerja kuat, jaga kesihatan,” itu antara ungkapan terakhir Mohd Fauzee Al Hafiz Jamingan, 18, kepada emaknya, Ismi Surat, 57.

Panggilan itu dibuat selepas Mohd Fauzee selesai bersolat tarawih, kira-kira jam 12 tengah malam di kolej berkenaan.Ismi berkata, anaknya bercakap seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara.Beliau berkata, kira-kira lima jam setengah selepas itu iaitu pada jam 5.30 pagi, pihak kolej menghubungi mereka yang mengatakan anaknya tidak sedarkan diri dan sudah dibawa ke Hospital Seremban.

“Arwah tiada menunjukkan sebarang perubahan kata atau tingkah laku, masa pulang ke kampung baru-baru ini, dia pulang seperti biasa.“Beliau seorang yang taat, manja dan mudah mesra dengan sesiapa saja yang beliau kenali,” kata Ismi yang ditemani suaminya, Jamingan Juki, 64, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Seremban, di sini.Mereka bersama sanak saudara datang dari Kampung Haji Razali, Tanjong Karang, Selangor, sejak awal pagi.

Ismi berkata, tidak lama selepas panggilan dibuat dan ketika bersiap untuk ke hospital, mereka dimaklumkan anaknya sudah meninggal dunia.Mohd Fauzee, anak bongsu daripada tujuh beradik memasuki kolej berkenaan setahun lalu dan dijangka tamat pengajian enam bulan lagi.Tinjauan Berita Harian di kawasan kolej mendapati ramai rakan arwah menanti jenazahnya untuk dimandikan dan dikapan sebelum dibawa pulang di kampung halamannya di Kampung Haji Razali untuk disemadikan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohammad Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kes itu sebagai mati mengejut.Katanya, siasatan mendapati tiada unsur jenayah yang berlaku.


http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Nasional/20041105101427/Article/

No comments: