Wednesday, November 10, 2004

WANITA DENGAN SATU MISI

assalamualaikum wbt..sesuatu yg menarik utk dikongsi bersama:)

Aisha Bhutta: Wanita dengan satu misi
AISHA BHUTTA atau dikenali juga dengan nama Debbie Rogers, kelihatan tenteram. Dia duduk di atas sebuah sofa yang besar di hadapan pangsapuri yang disewanya di Cowcaddens, Glasgow. Pada dinding di kediamannya itu digantungkan ayat-ayat al-Quran, sebuah jam dinding khas yang akan mengingatkan keluarganya akan waktu sembahyang serta poster-poster Tanah Suci Mekah.

Mata Aisha yang tajam dan berwarna biru itu bersinar dengan semangat dakwah, dia tersenyum dengan wajah yang begitu berseri-seri, yang hanya dimiliki oleh seorang yang beriman. Raut wajahnya ialah wajah seorang Scotland - tidak suka akan hal yang bukan-bukan serta berjenaka - tetapi ia dilindungi rapi dengan hijab.Untuk seorang gadis Kristian menukar agama kepada Islam dan mengahwini seorang lelaki Islam sudah cukup luar biasa.

Tetapi lebih dari itu, dia juga telah menukar agama kedua-dua ibu bapanya, kebanyakan daripada kaum keluarganya yang lain dan setidak-tidaknya tiga puluh orang rakan dan jiran tetangganya. Keluarganya ialah penganut agama Kristian yang kuat.Sewaktu gadis-gadis belasan tahun yang lain di Britain akan mengucup poster George Michael untuk mengucapkan selamat malam, Debbie Rogers pula menggantung gambar Jesus di dinding biliknya. Namun dia tetap merasakan yang agama asalnya itu masih tidak mencukupi.

Terlalu banyak soalan yang tidak terjawab di dalam agama itu dan dia rasa tidak puas hati dengan keyakinannya yang tidak mempunyai struktur yang tersusun."Sudah tentu ada lebih banyak perkara yang perlu saya taati dan lakukan selain daripada berdoa apabila saya terasa hendak melakukannya''.Pertama kali Aisha bertemu suaminya Mohammad Bhutta apabila dia berumur 10 tahun ketika menjadi seorang pelanggan tetap di kedai milik keluarganya.Dia sering melihat Mohammad bersolat di bahagian belakang kedainya.

"Saya dapat melihat dan merasakan bahawa wujudnya kepuasan dan ketenangan dalam apa yang dia lakukan,'' ujar Aisha."Mohammad bertanya adakah saya seorang Islam. Lantas saya pula membalasnya; ``Apakah itu Islam?''Daripada bibit pertemuan itu, Aisha kemudiannya mula mempelajari Islam secara mendalam daripada Mohammad. Apabila mencecah umur 17 tahun, dia telah pun membaca keseluruhan isi al-Quran dalam bahasa Arab. "Segala apa yang saya baca adalah munasabah dan dapat diterima akal.'' ujarnya. Dia membuat keputusan untuk memeluk agama Islam pada usia 16 tahun. "Apabila saya mengucapkan kalimah shahadah, terasa seperti satu beban yang sangat besar yang selama ini tertanggung ditanggung di bahu saya dibuang keluar dan saya rasa diri saya ibarat seorang bayi yang baru dilahirkan,'' katanya.

Sungguhpun Aisha telah memeluk Islam, ibu bapa Mohammad tidak bersetuju untuk mereka berdua kerkahwin. Mereka masih melihatnya sebagai seorang wanita Barat yang mungkin membawa anaknya kelak ke arah kesesatan lantas akan memburukkan nama baik keluarga mereka. Dia dianggap, terutamanya oleh bapa Mohammad, `musuh yang terbesar'.Sungguhpun demikian, pasangan itu tetap berkahwin di sebuah masjid tempatan. Aisha memakai baju yang dijahit oleh ibu Mohammad dan kakak-kakaknya yang secara sembunyi-sembunyi turut menghadiri majlis perkahwinan mereka walaupun tidak direstui oleh bapa mereka yang tidak mahu menghadiri majlis tersebut.

Nenek Mohammad menolong mencarikan jalan agar wanita-wanita itu boleh menjalinkan hubungan yang baik sesama mereka. Dia datang dari Pakistan di mana perkahwinan campur adalah lebih dibenci. Dia berkeras hendak bertemu Aisha. Dia begitu kagum apabila dia mengetahui yang Aisha telah mempelajari al-Quran serta bahasa Punjabi. Dia meyakinkan keluarga Mohammad yang lain sehingga perlahan-lahan, Aisha, yang pada waktu itu sudah berusia 32 tahun, pun menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.Ibu bapa Aisha, Michael dan Marjory Rogers, walaupun menghadiri perkahwinan Aisha, lebih risau tentang pakaian yang dipakai oleh anak perempuan mereka sekarang (pakaian tradisi shalwar kamiz) dan apa yang difikirkan oleh jiran tetangga mereka.

Enam tahun kemudian, Aisha pun memulakan misi untuk menukar agama ibu bapanya dan ahli keluarganya yang lain, melainkan kakaknya sahaja. "Suami saya dan saya berusaha untuk memujuk ibu dan ayah saya, menerangkan kepada mereka tentang Islam dan mereka dapat melihat perubahan pada diri saya,''Ibunya tidak lama kemudian pun mengikut jejak langkahnya. Marjory Rogers pun menukar namanya kepada Sumaiyah dan menjadi seorang wanita Islam yang sangat warak. "Dia memakai hijab dan menyempurnakan sembahyangnya pada waktunya dan tidak ada sesuatu yang lain yang dihiraukannya melainkan hubungannya dengan Tuhan.'' ujar Aisha.

Ayah Aisha tidak dapat dipujuk semudah ibunya. Oleh itu, dia pun meminta pertolongan ibunya yang baru memeluk Islam (yang sudah meninggal dunia kerana menghidap penyakit barah)."Ibu saya dan saya selalu berbual tentang Islam dengan ayah saya dan pada satu hari, ketika saya dan ibu saya sedang duduk di atas sofa di dalam dapur rumah kami, ayah saya pun datang dan mengatakan, "apakah kata-kata yang anda katakan untuk menjadi seorang Islam?'' "Saya dan ibu saya terus menerpa ke arahnya dalam kegembiraan.'' katanya.

Tiga tahun kemudian, abang Aisha pula memeluk Islam, hanya menerusi telefon dan kemudian disusuli oleh isterinya dan anak-anaknya pula. Dan Aisha tidak berhenti di situ sahaja. Keluarga sebelah kakak iparnya juga memeluk Islam. Seterusnya, Aisha menumpukan perhatiannya kepada jiran tetangganya di Cowcaddens yang tinggal di pangsapuri-pangsapuri yang tersusun rapat di antara satu sama lain.Setiap hari Isnin untuk 13 tahun kebelakangan ini, Aisha mengendalikan kelas mengenai Islam untuk wanita-wanita Scotland. Setakat ini, dia telah membantu mengislamkan seramai 30 orang. Wanita-wanita ini datang dari pelbagai latar belakang.

Trudy, seorang pensyarah di Universiti Glasgow yang juga merupakan seorang bekas penganut agama Kristian Katholik, menghadiri kelas Aisha hanya kerana dia ditugaskan untuk menyiapkan satu kaji selidik. Tetapi setelah enam bulan menghadiri kelas yang dikendalikan oleh Aisha, dan menyedari bahawa ajaran agama Kristian itu dipenuhi dengan percanggahan-percanggahan, Aisha berkata, ``Saya agak pasti yang dia sudah mula terkesan oleh kata-kata saya''.Bagaimana dia boleh tahu? "Saya tak tahu, saya cuma dapat merasakannya,'' jawab Aisha.

Kelasnya juga dihadiri gadis-gadis Islam yang sedikit sebanyak tergoda dengan pengaruh Barat dan mahu kembali ke jalan asal mereka serta juga wanita-wanita Islam yang ingin mengamalkan agama mereka dengan baik, cuma mereka tidak berpeluang untuk membuat perbincangan di masjid-masjid yang dikuasai oleh orang lelaki. Kelasnya juga dihadiri oleh mereka-mereka yang hanya berminat tentang Islam. Aisha mengalu-alukan soalan. ``Kita tidak boleh mengharapkan yang orang akan mempercayai kata-kata kita secara membuta tuli,'' katanya.Suaminya, Mohammad Bhutta, sekarang berusia 41 tahun tidak pula kelihatan seghairah Aisha untuk menukar agama lelaki Scotland kepada Islam.

Dia kadang-kala menolong di restoran keluarganya, tetapi matlamat utamanya dalam hidup ialah untuk memastikan yang kelima-lima anaknya akan membesar menjadi pengamal Islam yang baik. Anak sulungnya, Safia kini hampir berusia 14 tahun, kelihatan mewarisi bakat ibunya yang pandai berdakwah. Pada suatu hari, dia bertemu dengan seorang wanita di jalanan dan membantu membawakan barang-barangnya. Wanita tersebut akhirnya menghadiri kelas Aisha dan kini sudah memeluk Islam."Saya boleh katakan yang saya tidak pernah menyesal,'' kata Aisha tentang penukaran agama asalnya kepada Islam. "Setiap perkahwinan ada naik turunnya dan kadang kala anda memerlukan sesuatu yang boleh mengeluarkan diri anda dari kesusahan.'' ujarnya.

Rasulullah pernah bersabda:"Setiap kesusahan ada kesenangannya." Oleh itu, apabila anda sedang berada di dalam kesusahan, berusahalah supaya kesenangan itu datang.''Bagi Aisha, suaminya, Mohammad sungguh romantik kerana cintanya itu membawanya ke jalan Tuhan. "Saya rasa seperti kami telah berkenalan selama berkurun-kurun lamanya dan tidak boleh berpisah untuk selama-lamanya,'' ujarnya. Semoga cinta Aisha dan Mohammad bukan sekadar perasaan kasih sayang sebagai pasangan yang bahagia di dunia ini, bahkan menjadi pasangan di akhirat untuk selama-lamanya. Bukankah itu suatu yang benar-benar indah?

waa..beshnya..semoga depa ni berbahagia ke akhirnya...=) wassalam..

No comments: