Peperiksaan wajib bakal pengantin bukan untuk membebankan
BUTTERWORTH 8 April - Peperiksaan yang akan diwajibkan ke atas bakal pengantin Islam di Pulau Pinang mulai Mei depan bukan bertujuan membebankan mereka, sebaliknya untuk membimbing golongan itu mengenai ilmu asas perkahwinan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya berkata, peperiksaan itu penting bagi memastikan peserta kursus perkahwinan memberi tumpuan dan tidak bersikap sambil lewa ketika menghadiri kursus.
``Sebanyak 50 soalan objektif dalam peperiksaan ini adalah mudah kerana ia bukan untuk dijawab oleh golongan ustaz tetapi untuk pasangan Islam secara umum.
``Peperiksaan ini akan mendorong mereka lebih peka terhadap ilmu yang disampaikan dalam kursus kerana kajian kita mendapati terdapat peserta yang tidak tahu mengenai rukun Islam dan asas ilmu agama yang lain,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas ruangan Bisik-Bisik Awang Selamat dalam Utusan Malaysia hari ini yang berharap langkah memperkenalkan peperiksaan itu tidak menyusahkan dan menghalang pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga. Menurut Awang Selamat, ini kerana, perkahwinan yang bermasalah bukan semata-mata disebabkan pasangan tidak mengetahui tanggungjawab mereka, malah tiada jaminan semuanya berjalan lancar walaupun pasangan itu lulus cemerlang dalam peperiksaan itu.
Shabudin berkata, peperiksaan itu dapat membantu MAIPP mengenal pasti peserta yang perlu dibimbing berdasarkan keputusan yang diperoleh bakal pengantin.
``Kalau kita tidak buat peperiksaan ini maka kita tidak tahu siapa yang faham atau mengetahui perkara asas perkahwinan.
``Menerusi peperiksaan ini, kita dapat tahu dan mereka yang gagal akan diberikan kelas khas sekiranya mahu tetapi kelulusan untuk berkahwin akan diberikan juga akhirnya,'' ujarnya.
Beliau berkata, MAIPP yakin peperiksaan itu tidak menimbulkan sebarang masalah kerana agensi itu pernah menjalankan langkah serupa sebelum Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperkenalkan modul kursus perkahwinan yang diamalkan sekarang.
SUMBER..hihi
Friday, April 08, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment