Syor kursus lepas kahwin -- Wajib bagi pasangan selepas 10 tahun berumah tangga
Oleh AZMAN MD NOOR
BALING 16 April - Kerajaan bercadang mewajibkan semua pasangan yang telah berkahwin mengikuti kursus pascaperkahwinan dalam usaha mengurangkan kadar perceraian di negara ini.
Apabila dilaksanakan kelak semua pasangan yang telah berkahwin sekurang-kurangnya 10 tahun wajib mengikuti kursus tersebut.
Ketika ini hanya pasangan yang mahu berkahwin sahaja diwajibkan mengikuti kursus.
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang merangka cadangan itu.
``Kursus praperkahwinan tidak banyak memberi kesan kerana mereka lebih terdorong untuk mendapatkan sijil sahaja.
``Kita mahu pasangan yang telah berkahwin diwajibkan mengikuti kursus perkahwinan dalam usaha memantapkan mereka dengan ilmu rumah tangga,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Bayu serta ibu bapa mereka di sekolah berkenaan hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bayu, Mohd. Salleh Yaakob.
Kata Dr. Mashitah, terdapat beberapa negeri yang telah menjalankan kursus tersebut tetapi sambutannya agak dingin berikutan keengganan pasangan lelaki untuk hadir ke kursus tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling menambah, cadangan kerajaan itu amat perlu berikutan berlakunya peningkatan kadar perceraian di kalangan orang Melayu.
``Mereka perlu diberi kefahaman yang jelas mengenai kerukunan rumah tangga dan bukannya menganggap perkahwinan sebagai perkara mudah,'' ujarnya.
Jelasnya, kursus wajib bagi pasangan yang ingin berkahwin dianggap tidak memberi banyak kesan dan pengetahuan yang lebih mendalam kepada pasangan kerana sekadar mahu mendapatkan sijil.
Katanya, kadar penceraian di Kelantan dan Wilayah Persekutuan adalah tertinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.
Dr. Mashitah bagaimanapun memuji tindakan kerajaan Selangor yang telah berusaha mengadakan kursus perkahwinan terutama kepada pasangan yang telah pun berkahwin bagi mewujudkan suasana kehidupan lebih bermakna dan berpengetahuan.
Sehubungan itu, Dr. Mashitah berharap semua kerajaan negeri bersedia untuk melaksanakan kursus ini bagi kepentingan institusi kekeluargaan di seluruh negara.
SUMBER
Saturday, April 16, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment