Kisah Teladan: Menghayati nikmat beribadat, bermasyarakat pada Ramadan..
ILHAM, seorang kakitangan kerajaan berpangkat besar tetapi dia jarang ke surau dan bercampur gaul dengan masyarakat setempat. Dia menunaikan ibadat secara ala kadar saja dan tidak begitu mengenali jiran sekelilingnya.Keluarga Ilham juga tidak begitu prihatin mengenai kemuliaan Ramadan. Pada mereka, bulan Ramadan hanyalah berpuasa menahan dari lapar dan dahaga. Puasa pada mereka hanyalah adat.Beberapa hari menjelang Aidilfitri, mereka habiskan menjelajah dari satu pasar raya ke pasar raya. Sibuk memilih barangan untuk buat kuih dan sibuk beli baju raya. Mereka tidak sedikitpun mengambil peluang beramal ibadat sepanjang malam bulan Ramadan.
Selain sibuk membeli pakaian dan hidangan raya, anak-anak Ilham mula mendesak untuk bermain bunga api dan mercun. Kerana sayangkan anak, Ilham turutkan setiap kehendak mereka. Segala macam bentuk bunga api dan mercun yang diinginkan, dibeli Ilham tanpa ragu-ragu.Dari malam ke 20, kalau orang lain sibuk beramal ibadat, Ilham dan keluarga sibuk mengemas rumah. Dari dalam rumah hingga luar rumah semuanya serba indah. Mozek lantai berkilat, cermin rumah bersinar-sinar, bunga di bucu sana di bucu sini. Bukan sekadar langsir baru dan lampu hiasan, di luar rumah, panjut dipasang di keliling rumah.
Anak-anak Ilham apa lagi sibuk juga bermain bunga api dan bermain mercun. Ilham dan isterinya sibuk mengemas dalam rumah dan tidak menyedari anak bongsunya, Alif yang berusia sembilan tahun sudah keluar dari pagar rumah untuk bermain mercun di tepi jalan raya bersama kawan-kawannya.Setiap orang yang lalu lalang di hadapan rumahnya dibaling dengan mercun. Ada kereta yang membunyikan hon, ada yang berhenti menegur perbuatannya itu tetapi Alif dan kawan-kawannya sedikitpun tidak takut malah semakin galak membaling mercun.
Selepas puas membaling-baling mercun, Alif mahu mencuba sesuatu yang lebih hebat bunyinya. Dia kemudiannya membuka balutan mercun, meleraikan serbuknya dan menyumbatkannya dalam botol sepadat yang mungkin sebelum memasukkannya dalam besi paip.Entah bagaimana dalam pada Alif sibuk menyumbatkan botol berisi serbuk mercun itu ke dalam besi paip tiba-tiba paip itu meletup. Alif tidak sempat berbuat apa-apa, tangannya hancur dan dia meraung kesakitan. Orang ramai yang lalu lalang dan jemaah dari surau berdekatan terus mengerumuni Alif dan memberikan bantuan yang sepatutnya.Ilham berlari keluar rumah dan dia melihat Alif sudah dipapah imam masjid dan ditenangkan oleh beberapa orang jemaah. Ilham terkejut, bukan kerana melihat keadaan anaknya tetapi melihat ramainya orang yang cuba membantu dan menenangkan Alif.
Selepas Alif dibawa untuk rawatan, Ilham termenung seketika. Dia terfikir selama ini bertahun-tahun dia tinggal di kawasan perumahan itu, tiada siapa yang dikenalinya dan dia sekali pun tidak pernah menjejakkan kaki ke masjid berdekatan. Tetapi apabila berlaku musibah sebegitu, ramai pula jiran yang datang membantu. Ilham tiba-tiba terasa malu dengan diri sendiri.
Dia kemudiannya bertemu dengan imam yang membantu anaknya. Dia mengucapkan terima kasih atas keprihatinan imam itu dan jemaah masjid yang sudi menolong menyelamatkan anaknya.Imam itu hanya tersenyum dan berkata tanggungjawab membantu sesama manusia adalah tanggungjawab sejagat bukan menanti kita kenal atau tidak orang itu.“Sebagai orang Islam, lakukanlah ibadat dan jangan kurangkan kesucian ibadat,” kata imam itu. Ilham kemudiannya insaf. Dia mula rajin berjemaah di masjid dan mula mengenali jiran-jiran sekelilingnya. Jika tidak kerana peristiwa Alif belum tentu dia tahu nikmatnya beribadah dan nikmat bermasyarakat.
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Agama/20041031100858/Article/
Saturday, October 30, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment