Tuesday, September 14, 2004

KISAH PILIHAN: Mus'ab Bin Umair

Susunan Cikgu Isa
Memeluk Isl am
Mus'ab ialah anak hartawan Quraisy. Hidupnya mewah. Dia dimanjakan oleh ibunya, Khunas binti Malik. Mus'ab memeluk Islam di rumah Arqam bin Abil Arqam di Bukit Safa.Ibunya garang dan disegani oleh masyarakat. Apabila Mus'ab memeluk Islam, beliau terlalu khuatir akan tindakan ganas ibunya. Oleh itu dia menyembunyikan keislamannya. Dalam pada itu, dia terus berulang-alik ke rumah Arqam menghadiri majlis Rasulullah s.a.w.

Majlis Bersemuka
Pada suatu hari Usman ternampak Mus'ab memasuki rumah Arqam secara sembunyi. Pada hari yang lain, Usman ternampak Mus'ab solat seperti Muhammad s.a.w. solat. Usman segera mengadukan hal itu kepada ibu Mus'ab. Apa hendak dikata, keislaman Mus'ab diketahui juga oleh ibunya, si singa betina itu. Majlis bersemuka diadakan di rumahnya. Mus'ab berdiri di hadapan ibunya, keluarganya serta para pembesar Makkah. Gementarkah anak hartawan itu? Berpeluh dinginkah anak manja ibu itu? Pucat lesikah muka si Mus'ab yang muda remaja itu?
Wallahualam, riwayatnya tidak jelas. Yang jelas diberitakan ialah Mus'ab membacakan ayat-ayat al-Quran kepada mereka semua! Bacaannya dikatakan penuh keyakinan dan memperlihatkan ketakwaannya.

Melihat tindakan Mus'ab itu, Khunas segera menghayun tangannya dengan maksud untuk menghinggapkan tamparan paling keras ke muka budak manja yang sudah bertukar menjadi berani itu. "Anak tidak berguna!" Mungkin begitulah ledakan amarah hatinya. Mus'ab bersedia menerima habuannya. Cahaya iman yang bersedia menyerah diri kepada takdir Ilahi memancar di mukanya. Hal ini menyebabkan tangan ibunya terkulai. Watak keibuannya segera menjelma. Mus'ab adalah satu-satunya anaknya. Mus'ablah jantung hati, intan payungnya. Namun demikian, Mus'ab tidak terlepas begitu sahaja. Kaum keluarga dan para pembesar Quraisy tetap menonjolkan tuntut bela berhala-berhala mereka. Khunas mengalah juga. Mus'ab dikurung dalam satu ruang yang sangat kecil dalam rumahnya.

Berhijrah ke Habsyah Kali Pertama
Setelah beberapa lama Mus'ab berada dalam kurungan, beliau mendapat berita bahawa beberapa orang Islam di Makkah bercadang berhijrah ke Habsyah. Mus'ab mencari helah dan akhirnya dia dapat melepaskan diri daripada kurungan ibunya. Beliau pun mengikut rakan-rakan seimannya itu berhijrah ke Habsyah. Khunas sungguh berang. Dia menghentikan semua pemberian kepada Mus'ab.

Berpatah Arang
Tidak lama di Habsyah, mereka pulang semula ke Makkah. Khunas cuba mengurung Mus'ab semula. Mus'ab bersumpah akan membunuh orang suruhan ibunya jika dia cuba dikurung juga. Untuk kebaikan anaknya yang tercinta, Khunas membebaskan Mus'ab. Maka berlakulah sesuatu yang sangat mengharukan: anak dan ibu berpatah arang, berkerat rotan. "Pergilah ke mana-mana ikut suka hatimu! Aku bukan ibumu lagi!" kata Khunas dengan hati yang begitu cekal mempertahankan kekafirannya. "Wahai ibuku, aku sudah sampaikan nasihat kepadamu. Aku kasihan akan ibu. Oleh itu saksikanlah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya," kata Mus'ab merayu ibunya beriman. Si anak begitu gigih pula mempertahankan keimanannya. Kemudian atas perintah Rasulullah s.a.w Mus'ab dan sahabat-sahabat seimannya berhijrah sekali lagi ke Habsyah. Mus'ab meninggalkan kemewahan untuk merantau di Habsyah dan kemudian ke Madinah pula.

Menjadi Duta Pertama ke Madinah
Mus'ab dipilih oleh Rasulullah s.a.w. sebagai utusan (duta) ke Madinah. Beliau ditugaskan mengajar dua belas orang golongan Ansar yang telah beriman dan bai'ah dengan Rasulullah di Bukit Aqabah. Beliau juga ditugaskan mengajak orang lain memeluk Islam. Markas beliau ialah rumah. Antara cara dakwah Mus'ab ialah mengunjungi kabilah, rumah dan tempat-tempat pertemuan. Di situ beliau menyampaikan kalimah Allah "bahawa Allah Tuhan Maha Esa". Dakwah Mus'ab berkesan. Ramai penduduk Madinah memeluk Islam.

Hendak Dilembing Oleh Usaid
Semasa berdakwah, Mus'ab menghadapi pelbagai dugaan. Satu daripada peristiwa yang mengancam nyawanya adalah seperti yang berikut: Suatu hari, ketika dia sedang mengajar, datang ketua kabilah Abdul Asyhal yang bernama Usaid bin Hudlair. Usaid sangat marah melihat Mus'ab mendakwah anak-anak buahnya. Usaid mengacukan lembingnya kepada Mus'ab. Mereka yang sedang belajar ketakutan. Mus'ab tetap tentang. Dengan suara yang lembut, Mus'ab mempersilakan Usaid mendengar penerangnya. Setelah mendengar penerangan itu, jika Usaid suka, dia boleh menerimanya. Sebaliknya, jika Usaid masih tetap membencinya, Mus'ab berjanji meninggalkan tempat itu. Usaid menyimpan lembingnya dan mendengar penerangan Mus'ab. Diringkaskan cerita, Usaid pun memeluk Islam. Ini dikuti oleh Saad bin Mu'az dan Saad bin Ubadah.

Gambaran Kemiskinan Mus'ab di Madinah
Pada suatu hari beberapa orang sahabat sedang duduk mengelilingi Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba muncul Mus'ab dengan pakaian usang yang bertampal-tampal. Para sahabat segera menundukkan kepada dan memejamkan mata apabila melihat keadaan Mus'ab itu. Mereka teringat, pada suatu masa dahulu, Mus'ab adalah pemuda tampan yang sentiasa sahaja berseri-seri dalam pelbagai jenis pakaian yang sering bertukar ganti sebagai lambang kemewahannya. Apabila terkenangkan hal itu, beberapa orang daripada para sahabat itu sengaja melindungi muka mereka kerana telah dibasahi oleh air mata. Sebaliknya Rasulullah menatapnya dengan senyuman penuh erti, tepu dengan kesyukuran dan cinta kasih untuk si Mus'ab. Baginda bersabda, "Dahulu saya lihat tiada sesiapapun yang dapat menyaingi kemewahan Mus'ab. Kesemua itu ditinggalkannya demi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya".

Hal ini diabadikan dalam sebuh hadis seperti yang berikut: Daripada Ali bin Abi Talib r.a., bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihatnya, baginda menangis dan menitiskan air mata kerana terkenang akan kemewahan Mus'ab ketika berada di Makkah dahulu dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang. Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda: "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan satu pakaian pula. Dan apabila disajikan satu hidangan, disusuli pula dengan satu hidangan yang lain. Dan kamu menghias(menutup) rumah kamu seperti kamu memasang kelambu Makkah?" Maka jawab sahabat: "Wahai Rasulullah! Tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki." Lalu Nabi SAW bersabda: "Tidak! Keadaan kamu pada hari ini lebih baik daripada keadaan kamu hari itu." (Tarmizi)

Syahid di Uhud
Dalam peperangan Uhud, suatu ketika Hamzah syahid ditombak dari belakang oleh Wahsyi. Bendera yang pegang oleh Hamzah jatuh. Mus'ab segera mengambil bendera itu. Pada suatu ketika, tentera Islam kucar-kacir. Pada masa inilah Mus'ab memainkan peranannya. Beliau menarik perhatian musuh dengan mengacungkan bendera tinggi-tinggi dengan tangan kanannya.Tangan kirinya menghunus pedang. Mulutnya melaungkan takbir. Dia memancing musuh agar mengejarnya. Musuh mesti melupakan Rasulullah s.a.w. yang hampir tersepit. Taktiknya berjaya. Musuh menyerbunya. Seorang musuh berkuda berjaya memenggal tangan kanan Mus'ab hingga putus. Darah merah mengalir. Bendera hampir terjatuh. Segera dijangkaunya bendera itu dengan tangan kirinya.

Mulut Mus'ab lancar mengucapkan kalimah "Muhammad itu tiada lain hanyalah seorang Rasul, yang sebelumnya telah didahului oleh beberapa Rasul." Musuh berkuda itu berjaya mencantas tangan kirinya hingga putus pula! Bendera jatuh. Mus'ab membongkok, berusaha meraih bendera itu dengan kedua-dua pangkal lengannya yang berlumuran darah. Dia berusaha meriah bendera itu ke dadanya. Mulutnya terus mengucapkan kalimah "Muhammad itu tiada lain hanyalah seorang Rasul yang sebelumnya telah didahului oleh beberapa Rasul." Musuh berkuda itu menyerang kali ketiga. Dia berjaya menusukkan tombaknya ke tubuh Mus'ab. Mus'ab gugur menyembah bumi.
http://www.geocities.com/arham_s/kisah/k_musab.htm

No comments: